pejabat perdagangan pemerintah Inggeris. Syarikat Hindia Timur Belanda (SHTB) bergerak dengan segera untuk menuntut kekuasaanya ke atas Blambangan pada akhir abad ke-17 dan dengan itu, mengakibatkan perang besar selama lima tahun (1767-1772). Dalam peperangan itu, terdapat satu pertempuran yang dahsyat yang disebut Puputan Bayu kerana ia merupakan usaha terakhir Kerajaan Blambangan untuk melepaskan diri daripada belenggu SHTB. Pertempuran Puputan Bayu berlaku pada 18 Disember 1771 yang akhirnya ditetapkan sebagai hari jadi Banyuwangi. Namun pada akhirnya, SHTB-lah yang mencapai kemenangan dengan dilantiknya R. Wiroguno I (Mas Alit) sebagai bupati Banyuwangi yang pertama dan dengan itu, menandakan kejatuhan kerajaan Blambangan.
Geografi
Banyuwangi ialah kabupaten yang terbesar di Jawa Timur. Wilayahnya cukup beragam, dari dataran yang rendah sehingga pergunungan yang tinggi. Di kawasan yang menyempadani Kabupaten Bondowoso, terdapat rangkaian Dataran Tinggi Ijen yang merangkumi Gunung Raung (3,282 meter) serta Gunung Merapi (2,800 meter), kedua-duanya gunung berapi yang aktif.
Di bahagian selatan Kabupaten Banyuwangi terdapat perkebunan, peninggalan zaman Hindia-Belanda. Bahagian selatan yang menyempadani Kabupaten Jember merupakan kawasan pemuliharaan yang kini dilindungi oleh Simpanan Semula Jadi Meru Betiri, manakala di Semenanjung Blambangan juga terdapat simpanan semula jadi Taman Negara Alas Purwo.
Pantai Sukamade merupakan sebuah kawasan pengembangan penyu. Selain itu, pantai timur Banyuwangi (Selat Bali) merupakan salah satu pengeluar ikan yang terbesar di Jawa Timur. Terdapat juga sebuah pelabuhan perikanan di Muncar.
Pembahagian pentadbiran
Kabupaten Banyuwangi terdiri daripada 24 buah kecamatan, yang dibahagikan pula kepada sejumlah desa dan kelurahan. Pusat pemerintahannya di Kecamatan Banyuwangi.
Demografi
Penduduk Banyuwangi cukup beragam, dengan suku Osing merupakan golongan majoriti. Namun terdapat juga suku Madura dan suku Jawa yang cukup besar, serta golongan-golongan minoriti seperti suku Bali dan suku Bugis.
Suku Osing merupakan penduduk asli kabupaten Banyuwangi dan biasanya dianggap sebagai sebuah subsuku daripada suku Jawa. Mereka menggunakan bahasa Osing yang dikenali sebagai salah satu jenis bahasa Jawa yang tertua. Seni asli Banyuwangi termasuk kuntulan, gandrung, jaranan, barong, janger dan seblang. Bahasa dan budaya suku Osing banyak dipengaruhi oleh bahasa dan budaya Bali.
Pengangkutan
Jauhnya ibu kota Kabupaten Banyuwangi 239 kilometer di sebelah timur Kota Surabaya. Kota Banyuwangi merupakan hujung paling timur Jalur Pantura, serta titik landasan kereta api yang paling timur di Pulau Jawa.(dan yang terakhir di pulau Jawa)
Dari Surabaya, Kabupaten Banyuwangi dapat dicapai melalui dua batang lebuh raya, iaitu Jalur Utara dan Jalur Selatan. Jalur Utara merupakan sebahagian Jalur Pantura yang membentang Daru Ujung Kulon sehingga Pelabuhan Ketapang, manakala Jalur Selatan merupakan cabang Jalur Pantura dari Kabupaten Pasuruan melewati Kabupaten Lumajang dan Kabupaten Jember. Pelabuhan Ketapang terletak di bahagian utara kota Banyuwangi, dan menghubungkan Jawa dengan Bali melalui feri. (deket ma rumah vv euy!!!)
Kebudayaan
Selain daripada merupakan daerah perlintasan dari Jawa ke Bali, Kabupaten Banyuwangi juga merupakan daerah pertemuan untuk berbagai-bagai jenis kebudayaan daripada berbagai-bagai wilayah. Budaya masyarakat Banyuwangi diwarnai oleh kebudayaan Jawa, Bali, Madura, Melayu, dan Eropah yang akhirnya membentuk sebuah kebudayaan tempatan yang tidak pernah ditemui di mana-mana wilayah di Pulau Jawa.
Seni tradisional
Seni tradisional khas Banyuwangi termasuk:
* Gandrung Banyuwangi
* Seblang
* Janger
* Rengganis
* Hadrah Kunthulan
* Patrol
* Mocopatan Pacul Goang
* Jaranan Butho
* Barong
* Kebo-Keboan
* Angklung Caruk
* Gedhogan
Jenis kesenian tadi merupakan sebagian dari kesenian khas Banyuwangi yang masih hidup dan berkembang di kalangan masyarakat setempat.
Muzik khas Banyuwangi
Gamelan Banyuwangi yang khususnya digunakan dalam tarian Gandrung memiliki keistimewaan tersendiri, dengan adanya dua buah biola yang salah satunya dijadikan pemimpin lagu. Menurut sejarahnya, seorang Eropah menyaksikan pertunjukan Gandrung yang diiringi dengan suling pada sekitar abad ke-19 dan mencuba menyelaraskannya dengan biola yang dibawanya. Irama yang dihasilkan oleh biola menyayat hati para penonton dan sejak itu, biola mulai menggantikan suling kerana ia dapat menghasilkan nada-nada yang tinggi yang tidak dapat dihasilkan oleh suling.
Alat-alat muzik tradisional yang digunakan untuk gamelan Banyuwangi adalah seperti yang berikut:
* Kluncing, iaitu alat muzik berbentuk segi tiga yang diperbuat daripada kawat besi tebal, dan dibunyikan dengan alat pemukul yang diperbuat daripada bahan yang sama.
* Kendhang yang hampir serupa dengan kendhang yang digunakan dalam gamelan Sunda dan Bali. Biasanya berjumlah satu atau dua, fungsi khendhang ialah sebagai pemimpin muzik.
* Kethuk yang diperbuat daripada besi berjumlah dua buah dan dibuat dengan berbagai-bagai ukuran, sesuai dengan larasannya. “Kethuk estri” (feminin) adalah yang besar, dan dalam gamelan Jawa dipanggil Slendro, manakala “kethuk jaler” (maskulin) dilaraskan lebih tinggi satu not. Fungsi kethuk di sini bukan sekadar sebagai alat penguat atau penjaga irama seperti dalam gamelan Jawa, tetapi ia juga bergabung dengan kluncing untuk mengikut irama kendhang.
* Kempul dalam gamelan Banyuwangi (khususnya Gandrung) hanya terdiri daripada sebuah alat gong besi yang kekadang diselingi dengan “saron bali” dan angklung.
Selain daripada gamelan untuk tarian Gandrung ini, gamelan yang digunakan untuk pertunjukan Angklung Caruk agak berbeza dengan gamelan Gandrung kerana adanya angklung buluh yang dilaraskan, sesuai tinggi nadanya. Untuk gamelan patrol, semua alat muziknya diperbuat daripada buluh manakala untuk pertunjukan Janger, digunakan gamelan Bali dan Rengganis, gamelan Jawa yang lengkap. Khususnya seni Hadrah Kunthulan menggunakan rebana, beduk, kendhang, biola dan kekadangnya bonang (dipanggil “reong” dalam gamelan Bali).
Pemodenan juga tidak terelakkan seni muzik Banyuwangi, dengan kemunculan berbagai-bagai kelainan muzik yang merupakan padanan-padanan tradisional dan moden, seperti Kunthulan Ciptaan, Gandrung Ciptaan, Kendhang Kempul Ciptaan dan Janger Campursari. Padanan-padanan tersebut memasukkan unsur-unsur elektronik ke dalam muziknya dan menjadi seni-seni yang popular di kalangan masyarakat. Namun demikian, sesetengah pakar kebudayaan berasa risau bahawa seni-seni tersebut akan menjejaskan kesenian klasik yang sudah berkembang selama beratus-ratus